Saturday, July 3, 2010

Peluang Usahawan Lebar Perniagaan Ke India Dan Hong Kong

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) — Usahawan tempatan yang berminat melebarkan perniagaan mereka ke India dan Hong Kong berpeluang mendengar taklimat berhubung peluang yang ada di kedua-dua negara itu pada Julai dan Ogos ini.
Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Timur Hasziah Mohd Yazid berkata wakil perdagangan India dan Hong Kong akan mengadakan sesi penerangan peluang perniagaan di negara masing-masing pada tempoh itu.

“Wakil India akan mengadakan taklimat pada 5 Julai ini di Tingkat Lima Bangunan Menara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) manakala wakil Hong Kong pula dijadual mengadakan penerangan berhubung peluang perdagangan di negara mereka pada 5 Ogos ini,” katanya kepada Bernama di sini Sabtu..

Hasziah berkata taklimat untuk peluang perniagaan di India bermula pukul 2.00 petang manakala taklimat wakil Hong Kong pula bermula pukul 9.00 pagi di tempat yang sama.

Menurutnya, kehadiran terbuka kepada peserta tempatan dan peserta dari Kelantan dan Pahang turut dialu-alukan.

“Peserta dijangka diberi taklimat meliputi semua aspek berkaitan dengan sektor-sektor perniagaan yang mempunyai prospek yang baik untuk diterokai usahawan negara ini,” katanya.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi beliau menerusi e-mel:hasziah@matrade.gov.my atau talian 09-6244778.

– BERNAMA

No comments: