KUALA TERENGGANU 2 Julai - Pelabuhan Kemaman dengan lokasinya yang strategik dan kemudahan yang baik wajar dijadikan sebagai pusat perdagangan barangan yang dibawa masuk dari China dan negara dari rantau sekitar untuk pasaran Pantai Timur.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar berpendapat, pelabuhan di Teluk Kalong itu paling sesuai untuk tujuan tersebut berbanding pelabuhan-pelabuhan lain di Semenanjung.
"Sebagai negeri yang bergantung kepada hasil minyak mentah, pusat perdagangan ini boleh dilihat sebagai sumber pendapatan baru untuk Terengganu jika minyak sudah tiada nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Mempromosi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2010 Ketujuh di sini semalam.
Ekspo berkenaan akan diadakan di Nanning, Guangxi, China, Oktober ini.
Turut hadir dalam seminar itu ialah Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Timur, Hasziah Mohd. Yazid dan Naib Setiausaha Sekretariat ekspo berkenaan, Gong Qijun.
Tengku Ismail yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu berkata, yayasan itu kini sedang menyiapkan kertas kerja berhubung cadangan tersebut yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.
"Penyediaan infrastruktur asas mungkin mencecah RM50 juta. Dengan keluasan 80 hektar hingga 120 hektar, kawasan berkenaan akan ditempatkan dengan gudang-gudang dan pelabuhan pedalaman. Dalam masa sama, ia juga akan melonjakkan eksport barangan kita," katanya.
Menurutnya, cadangan itu juga selari dengan perancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam menjadi pemangkin sektor ekonomi yang lebih rancak di negeri-negeri terlibat.
Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Hasziah berkata, Matrade menyasarkan jumlah perdagangan dan pelaburan pada Ekspo CAEXPO 2010 akan meningkat 30 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, pada tahun lalu kira-kira 100 syarikat Malaysia menyertai ekspo tersebut yang merekodkan jualan sebanyak RM204.5 juta.
''Sehubungan itu Matrade mempelawa syarikat-syarikat negara ini terutama di Wilayah Timur supaya menyertai ekspo tersebut sebagai landasan ke arah memperkembangkan perniagaan serta meneroka peluang-peluang yang ditawarkan,'' katanya.
Beliau berkata, sejak ekspo itu diadakan penyertaan syarikat-syarikat daripada Wilayah Timur amat sedikit dan diharapkan pada tahun ini mereka dapat merebut peluang itu bagi mengembangkan lagi perniagaan dan meneroka peluang perniagaan yang ditawarkan.
Saturday, July 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment