Tuesday, September 16, 2008

Nur Abadi Garment Labur RM7 Juta

7.11.2006

KOTA BHARU: Syarikat pengeluar pakaian seragam agensi kerajaan dan
swasta di negeri ini, Nur Abadi Garment Sdn Berhad melabur RM7 juta
bagi meningkatkan pengeluarannya mencapai 250,000 pasang pakaian
sebulan.

Pelaburan oleh syarikat Bumiputera itu termasuk kos pembinaan
bangunan kilang baru serta peralatannya bernilai RM3 juta di kawasan
Perindustrian Pengkalan Chepa II, di sini.

Pengurus Besarnya, Ariffin Mahmood, berkata kilang baru itu
membolehkan pihaknya meningkatkan pengeluaran pakaian sehingga
250,000 pasang sebulan berbanding keupayaan kilang lama hanya setakat
60,000 pasang sebulan.

Katanya, kilang baru itu mampu menyediakan 600 peluang pekerjaan
kepada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta suri rumah dan
belia yang baru tamat persekolahan.

"Syarikat kami mengutamakan pembangunan modal insan dengan memberi
kemahiran secara berterusan dan penggunaan teknologi dan alat jahitan
pakaian yang tinggi serta selaras dengan dasar kerajaan.

"Kami berharap menjadikan syarikat ini sebagai antara industri
keselamatan negara. Bagi menjayakan hasrat ini, sokongan semua pihak,
terutama dalam memperoleh kontrak amat diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peletakan batu
asas bangunan baru kilang itu, yang disempurnakan Setiausaha Politik
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah;
Panglima Markas Lapan Briged Infantri Malaysia Pengkalan Chepa, Brig
Jen Shaharudin Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan
(JPP) Kelantan, Shukri Salleh dan Pengarah Urusan syarikat itu,
Noreen Chan Abdullah.

Ariffin berkata, pemberian kontrak kepada syarikat tempatan yang
mampu berdaya saing akan memberi keuntungan kepada negara terutama
dari segi pertukaran mata wang asing.

"Ia juga memastikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat
tempatan yang ditamatkan perkhidmatan akibat penutupan syarikat
antarabangsa yang berpindah ke China dan negara ketiga lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Fatmi dalam ucapannya, mahu syarikat Bumiputera
yang terbabit dalam industri pembuatan meningkatkan kualiti
pengeluarannya supaya setanding syarikat asing yang beroperasi di
negara ini.

Beliau berkata, kegagalan syarikat Bumiputera dalam industri
pembuatan itu kerana masalah mutu pengeluarannya tidak mampu
menandingi syarikat bukan Bumiputera.

"Kita mahu syarikat Bumiputera di negeri ini mengutamakan mutu
pengeluaran dan merangka reka bentuk yang sesuai mengikut kehendak
dan keperluan semasa agar dapat menyaingi syarikat asing," katanya.

Mohd Fatmi berbangga pada masa banyak kilang perindustrian di
Pengkalan Chepa ditutup, kilang milik Bumiputera berasaskan pembuatan
pakaian itu masih beroperasi sejak ditubuhkan di situ enam tahun
lalu.//BHarian

2 comments:

Che Ismail said...

ada jawatan kosong ke. untuk admin

Che Ismail said...

ada jawatan kosong ke. untuk admin - jila ada minta hubungi saya, 013-9834456 - jalan 31, taman kurnia jaya pengkalan chepa tk.