Tuesday, September 16, 2008

Kelantan teroka penghasilan VCO dan Bio Diesel

Kelantan teroka penghasilan VCO dan Bio Diesel

on 16-09-2007 10:10

PENGKALAN CHEPA – Perkembangan pesat bidang Bioteknologi banyak memberi faedah kepada peningkatan taraf ekonomi rakyat khususnya golongan petani. Penemuan-penemuan baru bioteknologi dalam pertanian telah berjaya menambah nilai komersial terhadap hasil pertanian.

Menyedari peripentingnya bidang bioteknologi kepada kesejahteraan ekonomi negeri dan rakyat maka kerajaan negeri Kelantan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menubuhkan anak syarikatnya bagi meneroka dan memajukan bidang biotek iaitu Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd.

Setelah berjaya melancarkan projek tanaman pokok Karas (Depu) bagi menghasilkan gaharu kerajaan negeri juga akan melancarkan beberapa lagi projek pertanian berasaskan bioteknologi antaranya projek tanaman pokok kelapa berkualiti bagi menghasilkan Virgin Coconut Oil (VCO) dan tanaman pokok Jatropha atau Jarak bagi menghasilkan bio diesel.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Paduka Haji Husam Musa berkata, beberapa peluang meningkatkan ekonomi rakyat sedang dalam penerokaan kerajaan negeri bagi dilaksanakan dalam masa terdekat di Kelantan.

Katanya, melalui Syarikat Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd., telah meneroka penghasilan Virgin Coconut Oil (VCO) atau Minyak Kelapa Dara yang mempunyai nilai komersial tinggi dipasaran kerana kegunaannya dalam bidang perubatan dan kesihatan.

“Kejayaan mengeluarkan VCO tempatan akan menambahkan lagi punca ekonomi rakyat dan negeri selain tidak lagi hanya bergantung kepada ekonomi teradisi semata-mata.”

Tambah Husam, bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada penemuan dan penghasilan VCO maka kerajaan negeri akan melibatkan mereka dalam industri ini dengan membekalkan anak-anak pokok kelapa berkualiti yang sesuai untuk penghasilan VCO bagi ditanam.”

“InsyaAllah selepas hari raya kerajaan negeri akan melancarkan projek pengagihan anak-anak pokok kelapa kepada rakyat di kampung-kampung supaya mereka dapat menggantikan pokok-pokok kelapa yang sudah tua dengan benih bari yang bernilai tinggi selain mengeluarkan hasil dalam masa singkat antara dua hingga tiga tahun.”

“Kawasan yang akan terlibat dengan pengagihan anak-anak pokok kelapa adalah Bachok, Pasir Putih, Tumpat dan lain-lain kawasan yang sesuai,” katanya pada majlis ceramah sempena Konvensyen Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan di Putik baru-baru ini.

“Kerajaan negeri juga dalam masa terdekat akan membina kilang bagi menghasilkan Minyak Kelapa Dara (VCO) dengan adanya kilang itu pasti akan memberi faedah besar kepada penanam-penanam benih kelapa terutama yang diagih oleh kerajaan negeri.”

Katanya lagi, kerajaan negeri juga dalam waktu terdekat akan melancar program tanaman pokok Jatropha atau pokok Jarak sebagai alternatif kepada penanam tembaku di negeri ini.

“Melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) diantara Malaysia dengan Thailand maka industri penanaman tembakau di negara ini dijangka akan mengalami kemerosotan dan akan mengalami masa depan yang tidak menentu terutama kepada penanam tembakau.”

“Ini kerana melalui FTA yang telah kita tandatangani menyebabkan hasil tembakau dari luar boleh memasuki pasaran tempatan tanpa apa-apa sekatan lagi dan dengan harga tembakau luar yang lebih murah menyebabkan harga tembakau tempatan akan menjunam jatuh dan ini sudah pasti akan merugikan penanam tembakau tempatan.”

“Selain itu syarikat rokok juga akan lebih berminat untuk mendapatkan tembakau luar kerana faktor harga yang lebih murah, maka penanaman tembakau dengan sendirinya tidak ada masa depan di negara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, maka sebagai alternatif mengatasi masalah penanam tembakau kerajaan negeri akan memperkenalkan tanaman pokok Jarak yang boleh diusahakan bagi menghasilkan bio diesel.

“Kita telah berhubung dengan Universiti Bogor di Indonesia dan mereka telah bekalkan 2500 benih sebagai percubaan dan ia akan ditanam di kawasan pondok moden di Bachok.”

Kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan satu syarikat German bagi membolehkan dibawa masuk teknologi pemprosesan buah jarak bagi menghasilkan minyak diesel.

Sekiranya berjalan lancar maka kerajaan negeri dijangka dalam masa terdekat akan meluluskan sebuah kilang menghasilkan bio diesel daripada buah Jarak.

Menurut beliau, pemilihan pokok jarak sebagai menghasilkan bio diesel kerana tempoh pengeluaran hasilnya yang singkat iaitu sembilan bulan sudah mula mengeluarkan buah serta jangka hayatnya yang panjang iaitu antara 33 hingga 35 tahun.

Bagi mempelbagaikan lagi hasil kepada penduduk kita juga telah berhubung dengan pihak Institiut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mendapatkan benih pokok vanila sebagai tanaman integrasi dengan pokok Jarak.

“Sekiranya projek ini berjaya Insyaallah akan memberifaedah yang cukup besar kepada rakyat dan sekaligus akan mengubah lanskap muka bumi Bachok yang sebelum ini terkenal dengan tembakau,” jelas beliau.

Turut bersama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Zulkifli Mamat dan Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah.

Sementara itu, Haji Zulkifli Mamat berkata, konsep Gerakkan Berdikari Rakyat Kelantan yang dilancar kerajaan negeri sejak tiga tahun lepas bertujuan melahirkan rakyat yang bebas diripada pergantungan kepada kerja makan gaji semata-mata, sebaliknya berubah menjadi mereka yang berkerja atas hasil usaha sendiri.

1 comment:

Blogger said...

3 Researches REVEAL How Coconut Oil Kills Waist Fat.

The meaning of this is that you literally get rid of fat by consuming Coconut Fats (including coconut milk, coconut cream and coconut oil).

These 3 researches from big medical magazines are sure to turn the traditional nutrition world around!