Saturday, August 2, 2008

Gerbang SMS kerajaan dilancar

Perkhidmatan SMS MATRADE

http://www.matrade.gov.my/announcements/sms.htm

Gerbang SMS kerajaan dilancar
31/07/2008 1:46pm

PUTRAJAYA 31 Julai — Gerbang SMS Kerajaan dilancarkan hari ini bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Normah Md Yusof berkata melalui gerbang itu, pertanyaan, pembayaran, pemberian informasi dan nota peringatan secara dua hala antara agensi kerajaan dan orang ramai dapat dilakukan melalui satu nombor SMS sahaja iaitu 15888.

Fasa pertama projek MYSMS itu melibatkan 53 agensi kerajaan dan sehingga kini lima agensi berjaya menyediakan perkhidmatan melalui projek itu, katanya pada majlis perasmian Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan pelancaran projek itu oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pusat Konvensyen Antarbangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Normah berkata lima agensi berkenaan ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi perkhidmatan semakan permohonan MyKad; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi sistem peringatan tarikh tamat tempoh lesen memandu dan cukai jalan kenderaan; Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) bagi mendapatkan borang dan semakan status permohonan geran; dan Bahagian Pinjaman Perumahan bagi semakan kelayakan, status permohonan dan baki pinjaman.

Melalui sistem ini juga, caj yang dikenakan turut diseragam iaitu 15 sen bagi kos penghantaran dan 20 sen bagi kos penerimaan, dan untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web www.mysms.gov.my.

Terdahulu, Mohd Sidek dalam ucapan perasmiannya berkata bagi mengurangkan perbelanjaan kos pelaksanaan teknologi maklumat (ICT), jabatan dan agensi kerajaan perlu membina keupayaan serta kepakaran dalaman supaya kebergantungan terhadap pembekal atau vendor dapat dikurangkan.

Beliau berkata kebanyakan projek perintis bagi pembangunan ICT perkhidmatan awam diserah kepada vendor tanpa pengawasan yang rapi, menyebabkan proses pembelajaran atau pemindahan teknologi tidak berlaku atau berlaku pada tahap minima.

“Sepatutnya setelah selesai projek perintis, kita sendiri boleh melaksanakan ’roll-out’ ke seluruh negara, tetapi ini tidak berlaku dan kita masih memerlukan vendor untuk melaksanakannya...ini menyebabkan kos menjadi tinggi dan kadang kala tidak terkawal,” katanya.

Mohd Sidek berkata tahap pembangunan ICT bagi perkhidmatan awam di negara ini adalah membanggakan dan menurut laporan yang dikeluarkan oleh Waseda University, Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam pelaksanaan kerajaan elektronik tahun ini.

Kejayaan portal myGovernment menerima anugerah World Information Technology and Services Alliance (Witsa) Global ICT Excellence Awards bagi kategori anugerah kecemerlangan ICT sektor awam Mei lepas juga telah menarik perhatian negara-negara serantau untuk melihat Malaysia sebagai negara contoh dalam menambah baik portal perkhidmatan awam, katanya.

— BERNAMA

No comments: