Sunday, July 20, 2008

Sabah & Sarawak: PKS pertingkat nilai dagangan

Sabah & Sarawak: PKS pertingkat nilai dagangan
Oleh Matzidi Dris
bhnews@bharian.com.my

KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mahu semua pengilang dan pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak berusaha mempertingkatkan sasaran nilai dagangan peringkat global sekali gus bersaing dengan mereka yang sudah lama maju.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya semua syarikat di Sarawak menggunakan sepenuhnya pelbagai kemudahan aktiviti perdagangan, program pemasaran dan promosi jenama serta misi perdagangan ke luar negara yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

"Pembukaan pejabat Matrade di bandar raya ini, akan membantu, menggalakkan insentif kepada pengeksport dan PKS Sarawak sekali gus menggunakan semua kemudahan, program, peruntukan dan perkhidmatan yang disediakan Matrade," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pembukaan rasmi pejabat Matrade Sarawak di Menara Grand, di sini, semalam, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Katanya, penubuhan pejabat Matrade di sini, sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memudahkan lagi pengagihan perkhidmatan kepada masyarakat peniaga di Sarawak.

Muhyiddin juga berkata syarikat tempatan perlu merebut peluang itu kerana Matrade mempunyai 34 rangkaian pejabat di seluruh dunia.

Beliau berkata, pada masa ini hanya dua peratus daripada jumlah syarikat yang berdaftar dengan Matrade adalah dari Sarawak dari 1 Januari 2002 hingga 30 Jun lalu hanya 100 permohonan syarikat dari Sarawak untuk pembangunan pasaran Matrade daripada 7,790 permohonan di seluruh dunia.

Katanya, jumlah perdagangan global Sarawak dari Januari hingga Mei tahun ini sekitar RM30.6 bilion, meningkat 19.9 peratus berbanding tempoh yang sama 2007.

Nilai eksport bertambah 23.3 peratus kepada 26.66 bilion sementara import meningkat 1.55 peratus kepada RM3.93 bilion.

No comments: